Hubungan Dua Hala Antara Malaysia dan Brunei Terus Diperkasa Melalui Institusi Tahfiz Al-Quran

<?xml:namespace prefix = o ns = "urn:schemas-microsoft-com:office:office" />

Jakim berbesar hati menerima kunjungan delegasi Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama Brunei Darussalam pada 25 Mac 2009 Masihi bersamaan 28 Rabiulawal 1430 Hijrah. Bertempat di Aras 9, Dewan Syura, Jakim, beberapa orang wakil Bahagian dari Jakim turut hadir. Delegasi seramai enam belas orang yang terdiri daripada pegawai, guru dan pelajar Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah ini diketuai oleh Haji Awang bin Haji Aji, Timbalan Hal Ehwal Pelajar dan Pentadbiran institut berkenaan.

Dalam pertemuan berkenaan, video korporat Jakim dipersembahkan kepada semua para hadirin. Melalui tayangan tersebut, anggota delegasi didedahkan dengan visi, misi dan objektif Jakim sebagai agensi pusat yang merancang pengurusan hal ehwal Islam dan pembangunan ummah di Malaysia. Isu pembelajaran dan pendidikan tahfiz di Malaysia, terutamanya di Darul Quran Jakim menjadi tumpuan utama topik perbincangan.

Pihak Brunei turut berbesar hati menerima maklumat dan laporan berkenaan pencapaian cemerlang para pelajar dari Negara Brunei Darussalam sepanjang pembelajaran mereka di Darul Quran Jakim. Selain itu, pihak delegasi turut berkongsi maklumat dan pengalaman berkaitan perkembangan bidang tahfiz di Brunei Darussalam dan sangat mengalu-alukan tenaga pengajar tahfiz dari Malaysia terutamanya perempuan bagi sama-sama membantu meningkatkan prestasi para pelajar di institusi-institusi tahfiz di Brunei.

Kunjungan ke Jakim merupakan salah satu agenda lawatan delegasi dalam rangka lawatan ke Malaysia selama empat hari. Jakim diberi penghormatan untuk menjadi hos lawatan bagi delegasi ini sepanjang berada di Malaysia. Pihak Jakim telah menyediakan pengangkutan dan seorang pegawai pengiring ke setiap tempat lawatan. Kedua-dua pihak berharap jalinan kerjasama yang lebih erat dapat dijana menerusi program-program dua hala khususnya dalam bidang tahfiz Al-Quran.

Perbincangan sedang berlangsung

Tuan Haji Abdul Hamid bin Abd Samad mempengerusikan majlis

Tuan Haji Awang bin Haji Aji, Ketua Delegasi Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah

Delegasi Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama Brunei Darussalam

Wakil Bahagian Jakim

Tuan Haji Abdul Hamid menyampaikan cenderamata daripada pihak Jakim kepada Ketua Delegasi

Delegasi Brunei dan wakil Jakim bergambar beramai-ramai sebagai kenang-kenangan selepas majlis